Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 4 Februari 2017

PERKASA dan PEKA desak Kerajaan Kelantan hentikan pembalakan, jejas kehidupan Orang Asli

KOTA BHARU: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak Kerajaan Kelantan supaya menghentikan segera aktiviti pembalakan di kawasan hulu Kelantan kerana menjejaskan alam sekitar selain mengancam kehidupan masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali juga mencadangkan supaya kerajaan negeri menghentikan aktiviti pembalakan itu bagi tempoh 50 tahun, supaya alam sekitar yang terjejas dan kawasan hutan yang ditebang boleh dipulihkan.

"Isu (alam sekitar) ini adalah isu rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia, bukannya isu masyarakat Orang Asli semata-mata," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Pembalakan bertajuk 'Kemusnahan Alam Sekitar, Kezaliman Terhadap Orang Asli', di sini hari ini.

Ibrahim berkata PERKASA juga mendesak kerajaan negeri supaya mengiktiraf tanah wilayah adat bagi masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Beliau juga mahu Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob segera menemui masyarakat Orang Asli di kawasan Gua Musang bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi berikutan aktiviti pembalakan itu.

Masyarakat Orang Asli yang mendakwa semakin terancam akibat aktiviti pembalakan, mengambil tindakan mendirikan halangan dan pondok secara haram di laluan masuk ke kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang sejak September tahun lepas, bagi menghalang pengeluaran balak daripada kawasan tersebut.

Ibrahim berkata PERKASA juga meminta Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit bagi melindungi hak-hak masyarakat Orang Asli yang semakin terhakis.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kemusnahan alam sekitar di Kelantan agak tenat akibat daripada aktiviti pembalakan.

"Dua tahun lepas, kami ada menghantar memorandum kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi menghentikan aktiviti pembalakan namun tidak ada apa-apa maklum balas," katanya sambil berharap perkara tersebut dapat diselesaikan segera.

Sumber: Bernama | 3 Feb. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan