Datuk Seri Jamil Khir Baharom |
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamil Khir Baharom adalah antara pemimpin kerajaan yang akan menghadiri Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), Sabtu ini.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, Jamil Khir sudah mengesahkan kehadirannya dan akan hadir atas kapasitinya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Beliau akan datang untuk solat Maghrib di Padang Merbok, kemudian solat hajat dan akan sampaikan sedikit tazkirah.
"Slot untuk beliau ditetapkan antara Maghrib dan Isyak," katanya pada sidang media khas Himpunan RUU 355 di sini, Rabu.
Nasrudin berkata, Himpunan RUU 355 anjuran 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut menjemput pemimpin-pemimpin lain tanpa mengira agama dan fahaman politik.
"Kita jemput semua (pemimpin), buat masa ini hanya Datuk Seri Jamil Khir beri pengesahan, saya fikir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi mungkin ke Sarawak untuk pilihan raya di sana," katanya.
Ditanya adakah kehadiran Jamil Khir itu menandakan beliau dan kerajaan menyokong untuk akta tersebut dipinda, Nasrudin menjawab:"Alhamdulillah, beliau datang, beliau sokonglah."
Menurut Nasrudin, seramai 200,000 orang dijangka hadir ke himpunan tersebut yang akan bermula pukul 2 petang dan berakhir jam 11 malam.
Katanya, sepanjang tempoh itu pelbagai program telah diatur termasuk, menjemput seramai 21 pemidato daripada NGO dan tokoh-tokoh terkemuka tanah air.
"Kita juga menjemput penceramah daripada Persatuan Penceramah Bukan Islam BN dan Persatuan Hindu Pahang," katanya.
Penceramah lain yang disebut adalah Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bekas Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr Hasan Ali.
Beliau juga menasihatkan peserta yang hadir supaya berhimpun dengan aman dan membuat beberapa persediaan seperti membawa sejadah dan air untuk berwuduk.
Sumber: mStar Online | 15 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan