Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 16 Februari 2017

Jalan Aring 8 - Kuala Berang dibuka semula kepada pengguna

HULU TERENGGANU: Jalan Aring 8 - Kuala Berang di sini yang ditutup sejak 22 Jan lalu berikutan kejadian runtuhan jalan dibuka semula kepada orang ramai bermula petang semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Terenggau Ir Che Kamaruddin Bahar berkata laluan dibuka semula setelah pembinaan lencongan sementara siap sepenuhnya semalam.

"Jalan lencongan sepanjang kira-kira 200 meter itu dibina dalam tempoh tiga minggu dengan kos kira-kira RM500,000," katanya kepada Bernama Khamis.

Laluan itu merupakan jalan alternatif yang menghubungkan Gua Musang di Kelantan dengan Kuala Berang.

Sejak penutupannya, pengguna dari arah Gua Musang ke Terengganu terpaksa menggunakan jalan utama Gua Musang-Kuala Krai sebelum ke Jalan Machang-Jerteh.

Sementara itu, beberapa pengguna jalan raya yang ditemui Bernama berkata mereka berasa lega dengan pembukaan laluan tersebut yang memendekkan masa perjalanan.

Ahli perniagaan dari Kuala Terengganu, Mohd Syukor Muda, 43, berkata dia menggunakan laluan itu untuk pulang ke Ipoh, Perak dua kali minggu bagi menjengah ibu bapanya yang uzur.

"Memang lega sangatlah sebab dah tiga minggu terpaksa guna laluan yang jauh ikut Kuala Lumpur, minyak pula boleh tahan harganya...bila laluan Aring ini dibuka semula dapat jimat masa dan minyak.

"Biasanya kalau lalu ikut Aring, saya sampai Ipoh dalam tempoh tujuh jam sahaja, tapi kalau kena ikut Kuala Lumpur, 10 jam baru sampai," katanya.

Bagi pengusaha kedai bunga di Gong Badak, Noor Aznida Alias, 36, pembukaan laluan tersebut menjimatkan masa beliau yang selalu berulang-alik ke Cameron Highlands untuk mengambil stok bunga segar.

"Dalam tempoh tiga minggu laluan itu ditutup saya terpaksa menggunakan khidmat kurier untuk mengambil stok bunga. Sekarang jalan dah dibuka semula, saya tidak perlu berbelanja lebih untuk perkhidmatan kurier," katanya.

  Sumber
: Bernama | 16 Feb. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan