Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 13 Februari 2017

Nadicorp serah RM50,000 dana endowmen kepada UMK bantu usahawan mikro

KOTA BHARU: Syarikat Nadicorp Holdings Sdn Bhd hari ini menyerahkan dana endowmen berjumlah RM50,000 kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membantu usahawan mikro meningkatkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi syarikat itu Tan Sri Dr Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata buat permulaan, sebanyak 10 usahawan mikro masing-masing mendapat bantuan berjumlah RM5,000 sebagai suntikan modal untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

"Dana endowmen ini diwujudkan bagi membantu usahawan mikro terpilih untuk meningkatkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Mereka ini sebenarnya telah berjaya, tapi apabila sampai di satu tahap mereka memerlukan lagi suntikan modal dan ilmu pengetahuan yang lebih sofistikated untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Bagi Program Dana Endowmen Pembangunan Usahawan itu yang turut dihadiri Naib Canselor UMK Datuk Dr Mortaza Mohamed, di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mohd Nadzmi yang juga Profesor Adjung UMK berkata menerusi program ini juga, usahawan mikro yang terpilih akan berkolaborasi dengan universiti itu dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan yang ada di pusat pendidikan tersebut.

"UMK akan bertindak sebagai penasihat yang akan memberi ilmu dalam pelbagai bentuk kepada usahawan mikro terbabit, manakala usahawan mikro pula akan berkongsi pengalaman mereka dengan UMK dalam hal berkaitan pengalaman mereka menguruskan perniagaan.

"Ini juga akan menjadi strategi serampang dua mata kepada UMK dalam membentuk satu sistem pembelajaran baharu di mana ia tidak hanya tertumpu kepada teori semata-mata," katanya.

Sementara itu, Mortaza berkata usahawan mikro yang dipilih terdiri daripada pengusaha bakeri, tudung, jahitan, rempah masakan, pastri, keropok segera dan makanan sejuk beku.

Beliau berkata menerusi dana ini, peniaga akan diberikan suntikan modal dan hanya perlu membayar sejumlah kecil hasil keuntungan mereka kepada tabung dana yang akan digunakan bagi membantu usahawan lain pula selepas ini.

Sumber: Bernama | 13 Feb. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan