Wan Mohd. Asrul Wan Ahmad (kiri) melayan pelanggannya di tapak jualan Food Truck in The Park di Dataran Kota Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, kelmarin. |
KOTA BHARU: Usahawan muda yang menyertai program Food Truck in The Park kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengakui mereka mampu meraih hasil jualan sehingga RM2,000 dalam tempoh kurang empat jam.
Peniaga sate, Wan Mohd. Asrul Wan Ahmad, 29, berkata, pada hari pertama iaitu 12 Februari lalu, dia berjaya menjual 1,000 cucuk sate yang kemudian meningkat kepada 1,300 cucuk pada hari kedua dan 2,000 cucuk pada hari ketiga.
“Sambutan pengunjung sangat luar biasa sehinggakan kebanyakan kami sudah kehabisan makanan untuk dijual menjelang pukul 10 malam. Kawasan ini strategik kerana selain orang tempatan, ia juga lokasi tumpuan pelancong luar.
“Orang ramai tertarik kerana konsep Food Truck menarik serta aspek kebersihan yang ditekankan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Wan Mohd. Asrul merupakan seorang daripada 10 usahawan Food Truck in The Park yang beroperasi di Dataran Kota Sultan Ismail Petra, berhadapan Istana Balai Besar, di sini bermula pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam setiap hari.
Menurut Wan Mohd. Asrul, trak makanannya diperoleh secara sewa beli dengan KADA dan dia perlu membayar RM1,700 secara bulanan bagi tempoh lima tahun.
Sementara itu, seorang lagi usahawan, Ahmad Zulkarnain Abdullah, 25, berkata, dia mampu membuat jualan sehingga RM2,000 sehari sekalipun perniagaan trak makanannya hanya fokus kepada menu ringkas seperti aiskrim dan ais kepal.
“Menu kegemaran ramai adalah Churros Cone Ice Cream kerana keenakannya.
“Saya tidak sangka sambutan warga Kota Bharu kepada konsep food truck ini sangat menggalakkan dan saya berharap fenomena ini berkekalan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah | 16 Feb. 2017 | Terbitan 17 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan