BESUT: Dua remaja yang disyaki terlibat dalam kes samun seorang wanita di Kota Bharu, Kelantan diberkas polis di bandar Jerteh hanya selepas 71 minit melakukan jenayah tersebut, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata kedua-dua remaja berumur 26 dan 18 tahun itu ditahan dalam kereta yang dilarikan daripada mangsa wanita di hadapan Balai Islam Lundang, Kota Bharu.
Anggota peronda polis Jerteh mengesan mereka dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 10.45 pagi di sini semalam.
Katanya, kedua-dua suspek yang berasal dari Besut itu dipercayai menyamun mangsa berusia 37 tahun dengan melarikan kereta jenis Toyota Vios miliknya serta beg tangan yang mengandungi kad ATM dan lesen memandu.
"Polis yang membuat rondaan di kawasan Hospital Besut mengesan dua remaja berkenaan berada dalam kereta berwarna perak itu dalam keadaan mencurigakan.
"Selepas melakukan pemeriksaan terhadap remaja terbabit, polis mendapati ada beg duit yang dicampak di tempat duduk belakang kereta berkenaan bersama satu kad pengenalan wanita (mangsa) serta beberapa kad ATM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd Zamri, selepas membuat pemeriksaan terhadap barang-barang tersebut, polis mendapati ia menepati laporan polis yang dibuat mangsa pada pukul 9.45 pagi hari yang sama.
"Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Jerteh untuk siasatan lanjut. Suspek berumur 18 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit Seksyen 379A (curi kenderaan), Seksyen 39A (1) (dadah) dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah)," katanya.
Sumber: Bernama | 16 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan