KUANTAN: ANIH Berhad, pemegang konsensi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) mengedarkan sebanyak 3,000 pek juadah berbuka percuma kepada pengguna lebuhraya itu menerusi program "Berkongsi Barakah Ramadan' bermula hari ini.
Pengedaran pek juadah yang mengandungi nasi, lauk pauk, minuman dan kurma itu dilaksanakan sebanyak tiga kali iaitu di dua kali di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah pada 2 dan 16 Jun, manakala di R&R Temerloh pada 9 Jun.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussin berkata program itu merupakan inisiatif tanggungjawab korporat Anih Berhad dan berharap dapat menganjurkan lebih banyak lagi aktiviti bermanfaat bagi pengguna LPT.
"Setiap lokasi akan diperuntukkan 1,000 pek juadah berbuka dan akan diedarkan menerusi satu kaunter pandu lalu khas yang bermula 6.30 petang hingga 7.45 malam.
"Ini merupakan tradisi ANIH Berhad untuk turun padang mengedarkan pek penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada pengguna LPT setiap kali tibanya Ramadan," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.
Sebelum ini, ANIH Berhad telah memulakan program pengedaran 20,000 pek kurma secara percuma kepada pengguna LPT semasa waktu berbuka puasa, yang diedarkan selama sebulan bermula hari pertama umat Islam menunaikan puasa di Plaza Tol Gombak dan Karak.
Selain mengedarkan juadah berbuka, Nik Fauzi berkata pengguna LPT turut diberikan beberapa tip keselamatan semasa memandu di lebuh raya yang digambarkan menerusi lukisan doodle, di susur masuk ke R&R Genting Sempah.
Antara tip yang dikongsikan seperti berehat seketika di R&R terdekat sekiranya keletihan, jangan memandu melebihi had laju, merancang perjalanan dengan mengikuti cadangan waktu perjalanan, beri isyarat semasa menukar lorong, elakkan daripada mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat dan jangan menyalahgunakan lorong kecemasan, katanya.
Nik Fauzi menambah pengguna LPT juga berpeluang mengenali lebih dekat platform media sosial utama ANIH Berhad merangkumi Facebook LPT dan laman Twitter @LPTTrafik yang digunakan oleh syarikat untuk mengumumkan status dan keadaan terkini di sepanjang jajaran lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu.
Sumber: Bernama | 2 Jun 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan