KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bakal menerima empat buah lagi balai bomba baharu iaitu di Kuala Krai, Dabong (di jajahan Kuala Krai), Wakaf Bharu di Tumpat dan Tok Bali di Pasir Puteh selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata penambahan empat buah balai itu akan menjadikan keseluruhan balai bomba yang terdapat di negeri ini adalah sebanyak 21 buah.
Projek pembinaan empat balai bomba itu adalah projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang menelan belanja sebanyak RM10 juta, katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama anggota JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.
Wan Mohd Nor berkata kesemua balai bomba itu sekarang dalam proses pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan.
"Kita yakin dengan penambahan balai bomba ini, ia dapat membantu bomba dalam menjalankan tugas membantu memadamkan kebakaran dengan lebih sempurna serta memendekkan tempoh respons anggota yang bertugas, " katanya.
Beliau berkata lagi banyak balai bomba maka lagi cepat anggota dapat tiba di sesuatu lokasi kebakaran untuk memadamkan api atau menyelamatkan nyawa dan harta benda daripada musnah.
Mengenai penambahan anggota, beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan tetapi JBPM kini membuat perancangan iaitu memindahkan kalangan anggota sedia ada ke balai baharu selain menambah perjawatan dalam bomba bantuan.
Mengenai tempoh respons, Wan Mohd Nor berkata setakat ini beliau amat berpuas hati malah kesemua balai bomba menunjukkan satu tindak balas yang baik dan cepat tiba di lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
Katanya, sebenarnya setiap panggilan akan sampai ke Bilik Gerakan dan semua balai bomba dapat menerimanya dan memberikan tindak balas.
"Seperti dalam kejadian kemalangan yang meragut nyawa tujuh pelajar tahfiz di Kampung Telekong, Kuala Krai semalam, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang tiba dalam tempoh 15 minit selepas menerima maklumat.
"Meskipun berlaku di Kuala Krai tetapi pasukan yang paling dekat berada akan segera memberikan maklum balas dan berkejar ke lokasi. Apa yang mustahak anggota bomba pasti akan tiba di lokasi dan memberikan bantuan kepada mangsa, " katanya yang turut melawat lokasi kemalangan berkenaan semalam.
Sumber: Bernama | 3 Jun 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan