Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 15 Jun 2017

Projek ERCL sebagai pencetus perubahan bagi penduduk Pantai Timur - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Darwis Abdul Razak dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur pada majlis perasmian Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama (dari kiri) Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Duta Besar China ke Malaysia Huang Hui Kang dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
PUTRAJAYA: Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berperanan sebagai pencetus perubahan dan membuka minda penduduk di Pantai Timur tentang ketibaan era moden di kawasan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beberapa bulan lalu, saya telah terlibat dengan program di Bachok, Kelantan dan apabila penduduknya melihat rupa tren tersebut, mereka tidak dapat bayangkan perkhidmatan rel yang sebegitu moden dan canggih ini berada di kawasan mereka.

"Apabila saya tengok reaksi mereka ini, saya melihat projek ini bukan sahaja sebagai 'game changer' (pencetus perubahan) tetapi juga 'mindset changer' (membuka minda). Yang mana ia membuka minda orang luar bandar di Pantai Timur bahawa era moden telah tiba bagi rantau mereka," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika merasmikan Latihan Industri Projek ECRL Negaraku di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Beliau berkata kadar pertumbuhan ekonomi di Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka bertambah 1.5 peratus menerusi pelaksanaan ECRL.

Menurutnya, berdasarkan kajian pihaknya, sebanyak 95 peratus responden menyokong pelaksanaan projek tersebut sekali gus menunjukkan ia mendapat sokongan dan dorongan daripada rakyat.

Mengenai program latihan itu, perdana menteri berkata ia adalah merupakan keberhasilan usaha kerajaan membawa pembangunan setara ke wilayah Pantai Timur.

Menurutnya, sebanyak 3,600 anak tempatan bakal menjalani program latihan industri yang memfokuskan kepada memenuhi keperluan kerja dalam bidang rel dan kereta api ECRL.

"Moga program latihan ini memberi isyarat yang jelas bahawa projek ini mendatangkan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia di samping mengeratkan hubungan bilateral kita dengan China," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyaksikan sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) telah dipersetujui dan upacara pertukaran dokumen telah dilakukan.

MoU antara Malaysia Rail Link (MRL) dengan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) serta institusi pengajian tinggi awam itu adalah untuk merealisasikan kerjasama industri dan pihak akademik untuk program Latihan Kemahiran Industri ECRL.

Ia bertujuan menyediakan serta meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL dan industri kereta api.

Sumber: Bernama | 14 Jun 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan