Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 13 Jun 2017

Projek Kesban kurangkan risiko banjir di sempadan Kelantan-Thailand

TUMPAT: Projek Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (Kesban) Fasa 1, melibatkan peruntukan RM300 juta akan dapat mengurangkan risiko banjir di jajahan berhampiran sungai berkenaan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata projek itu melibatkan dua komponen utama iaitu projek pengukuhan tebing Sungai Golok dan projek tebatan banjir di sepanjang sungai tersebut.

"Sebahagian besar projek pengukuhan tebing Sungai Golok telah siap dan selebihnya dalam pembinaan, manakala projek tebatan banjir dalam proses pelaksanaan," katanya selepas melawat Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, di Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Hamim berkata projek Kesban merupakan sebahagian inisiatif dalam penyelesaian menyeluruh terhadap isu banjir di Sungai Golok melibatkan anggaran kos RM1.032 bilion dengan tempoh pelaksanaan membabitkan tiga fasa melangkaui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Katanya selain akan membantu mempercepatkan pengaliran air banjir di Jajahan Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, projek itu turut berperanan menjamin keselamatan dan kedaulatan negara di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai projek mengukur sempadan Malaysia-Thailand, Hamim berkata setakat ini, kerja-kerja mengukur sempadan dari Perlis sehingga Kelantan telah selesai.

"Sebahagian besar sempadan yang telah siap diukur itu sudah ditandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Thailand," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta kementeriannya sedang menyediakan draf MoU bagi menerima pakai sempadan yang telah ditanda dan diukur secara bersama antara pihak Malaysia dan Thailand di sepanjang Sungai Golok.

Katanya draf MoU itu bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia-Thailand pada masa akan datang.

Sumber: Bernama | 13 Jun 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan