Mohd. Amar Nik Abdullah |
KOTA BHARU: Pas menyifatkan Kerajaan Pusat tidak mengambil langkah salah sehingga boleh menggadai kedaulatan negara apabila meminta bantuan pinjaman dari China bagi membiayai projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sebelum ini, Kerajaan Pusat juga pernah membuat pinjaman dari negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS), malahan tindakan tersebut tidak menjadi masalah.
Dalam masa sama, katanya, Kerajaan Pusat perlu mengawal hutang tersebut supaya tidak mengikat negara pada masa akan datang.
“Bagi saya, kita boleh pinjam dengan negara luar, cuma yang penting jangan menyebabkan kedaulatan negara tergadai. Sekadar berhutang ini, tidak menjadi masalah, Nabi juga pernah berhutang dengan orang Yahudi ketika sejarahnya dulu.
“Cuma apa yang kita bimbang sekiranya hutang boleh menyebabkan kita tunduk pada sesebuah negara. Itu yang kita tidak mahu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Pakatan Harapan yang diketuai DAP sebelum ini menuduh Kerajaan Pusat menjual ‘kedaulatan negara’ kepada China kerana membawa masuk pelaburan bernilai RM144 bilion menerusi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu baru-baru ini.
Tuduhan tersebut disifatkan tidak adil kerana jumlah pelaburan besar itu memberi manfaat kepada rakyat termasuk pelaksanaan projek ECRL sepanjang 620 kilometer.
Malah, Kerajaan DAP Pulau Pinang turut meminta bantuan pinjaman dari China bagi membiayai projek pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.
Sumber: Utusan Malaysia | Politik | 31 Mei 2017 | Terbitan 1 Jun 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan