Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 20 Jun 2017

SME Corp bantu 43,094 usahawan PKS melalui geran dan pinjaman berjumlah RM5.63 bilion setakat 31 Mei lepas - Ahmad Maslan

KOTA BHARU: SME Corp mengeluarkan geran dan pinjaman berjumlah RM5.63 bilion kepada 43,094 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh negara, setakat 31 Mei lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata bantuan kepada usahawan terbabit yang dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) disalurkan melalui pelbagai program seperti Program Peningkatan Enterprise Bumiputera, Program Galakan Eksport Bumiputera, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera, serta Program Pinjaman Mudah Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana.

"Ini adalah usaha yang berterusan dilakukan oleh SME Corp bagi mencapai matlamat negara berteraskan keusahawanan," katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Usahawan Kelantan di sini, hari ini.

Ahmad berkata setakat ini, terdapat 645,136 usahawan PKS di seluruh negara dengan PKS yang dimiliki oleh usahawan bumiputera hanya 37 peratus dan usaha sedang dilakukan bagi melonjakkan jumlah usahawan bumiputera.

"Daripada jumlah tersebut (645,136), di Kelantan terdapat 38,064 syarikat entiti perniagaan PKS dengan 92 peratus perniagaan adalah mikro iaitu pekerja tidak lebih daripada lima orang dan nilai jualan tidak lebih daripada RM300,000 setahun," katanya.

Beliau berharap usahawan mikro di Kelantan dapat meningkatkan perniagaan masing-masing kepada kategori usahawan kecil.

Katanya kementeriannya juga akan membantu usahawan negeri ini yang menghadapi masalah termasuk pembiayaan, pemasaran, bekalan air bersih, kenaikan kos operasi dan banjir musim tengkujuh.

Beliau juga mahu usahawan PKS merebut peluang bantuan yang disediakan melalui pelbagai agensi kerajaan yang lain dalam usaha membangunkan usahawan.

Sumber
: Bernama | 19 Jun 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan