Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 4 Jun 2017

Tentera Thai pertingkat kawalan sempadan Thailand-Malaysia

NARATHIWAT: Tentera Thailand meningkatkan kawalan di kawasan sempadan Thailand-Malaysia di wilayah Narathiwat bagi menghalang sebarang percubaan anggota kumpulan militan untuk melarikan diri ke negara jiran.

Panglima Tentera Darat Jen Chalermchai Sittisart berkata penugasan anggota tentera di kawasan sempadan amat penting dalam memelihara keamanan negara, di samping membendung aktiviti penyeludupan barangan, manusia, senjata api dan bahan letupan.

"Terdapat individu yang memberi bantuan kepada kumpulan militan untuk mereka melarikan diri dan bersembunyi di negara jiran," katanya kepada pemberita, sambil menambah pasukan keselamatan sedang menyiasat dan membawa mereka yang disyaki ke muka pengadilan.

Kehadiran beliau di Kompeni ke-2 Pasukan Petugas Narathiwat di Kampung Sri Panggan, Mukim Pulau Setol di Takbai hari ini, disambut Panglima Tentera Bahagian ke-4 Lt Jen Piyawat Nakwanich dan Ketua Pasukan Petugas Narathiwat Mej Jen Vicharn Suksom.

Kol Suradej Suknui daripada Pasukan Petugas Narathiwat, berkata sempadan Thailand-Malaysia di wilayah Narathiwat meliputi lima daerah - Chanet, Sukhirin, Weng, Takbai dan Sungai Golok dengan jarak sejauh 151km.

"...dan 95km dari sempadan itu adalah sungai meliputi daerah Sungai Golok, Weng dan Takbai," katanya dan menambah sempadan sungai itu mempunyai puluhan laluan haram yang digunakan oleh penyeludup dan lain-lain lagi.

Tiga pintu masuk yang sah di sepanjang kawasan sempadan berhampiran wilayah Narathiwat adalah Bukit Ta-Bukit Bunga, Sungai Golok-Rantau Panjang dan Takbai-Pengkalan Kubur, kata Suradej.

Semalam penduduk tempatan di Sungai Golok mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah tindakan tentera menutup operasi enam pengkalan bot di sungai itu atas alasan keselamatan.

Awal bulan lepas, berlaku letupan di Kampung Tok Jamu di pesisir Sungai Golok menyebabkan lima anggota polis sempadan Thailand cedera.

Sumber: Bernama | 4 Jun 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan