Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 3 Jun 2017

Tiga jenazah pelajar tahfiz selamat dikebumi malam tadi

KUALA KRAI: Tiga jenazah pelajar tahfiz yang maut dalam kemalangan di Km 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu pagi tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang pada pukul 11.25 malam ini.

Jenazah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18, Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16 dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, sebelum itu disembahyangkan di masjid pusat tahfiz berkenaan selepas dibawa keluar secara berasingan daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai bermula pukul 9.30 malam tadi.

Jenazah Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, yang sebelum ini dikatakan akan dikebumikan bersama rakan-rakannya itu bagaimanapun dituntut oleh ibu bapanya yang baharu tiba dari Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 6.30 petang tadi.

Mangsa akan dikebumikan di kampung halamannya di Panji, Kota Bharu.

Sementara itu, jenazah Muhammad Rahman Rozali, 18, dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Tok Dor Soh, Bachok, jenazah Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dibawa pulang ke Dabong di sini manakala seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad, 14, dibawa pulang ke Pattani.

Suasana sayu dan pilu menyelubungi perkarangan pusat tahfiz sebaik ketiga-tiga jenazah pelajar itu tiba dan ketika majlis pengebumian berlangsung.

Puluhan penduduk, para pelajar tahfiz dan anggota keluarga mangsa turut menyaksikan ketika ketiga-tiga jenazah diturunkan ke dalam liang lahad ketika hujan renyai-renyai.

Sumber: Bernama | 2 Jun 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan