PASIR MAS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membantu meningkatkan lagi tahap capaian perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di semua hospital di negara ini.
Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata kemudahan tersebut adalah penting dalam era digital untuk kemudahan warga kerja dan pesakit di hospital.
"Kalau kita tertinggal dalam era digital ini dari segi jalur lebar dan tahap capaiannya, ia akan menyusahkan Kementerian Kesihatan dan juga pesakit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kasih Ramadan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Mydin Hypermarket di Hospital Pasir Mas di sini, hari ini.
Program anjuran bersama Persatuan Jururawat Malaysia cawangan Kelantan itu turut memberi sumbangan juadah berbuka puasa kepada kesemua doktor, jururawat dan pesakit di hospital tersebut.
Sharifah Zarah yang juga penaung Tabung Kasih Kanser POKB, berkata Kementerian Kesihatan telah banyak membuat penambahbaikan pelbagai kemudahan dan teknologi terkini dalam perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Sementara itu, Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata pihaknya akan mengambil anggota polis yang cacat anggota semasa bertugas sebagai anak angkat persatuan itu.
Beliau berkata setakat ini terdapat 15 anggota polis yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dijadikan sebagai anak angkat bagi membolehkan pelbagai bantuan dihulurkan.
"Kita sebagai badan bukan kerajaan hendak mengajak orang ramai supaya menghargai dan menghormati pengorbanan anggota polis dalam menjalankan tugas mereka," katanya.
Pada majlis tersebut POKB menyumbangkan empat buah alat pendingin hawa bernilai RM11,000 untuk Wad Paliatif Hospital Pasir Mas untuk keselesaan pesakit kanser, angin ahmar (strok) dan jantung.
Sumber: Bernama | 3 Jun 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan