KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Zarina Md Eusope berikrar untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke - 14 (PRU-14).
Zarina berkata, walaupun beliau calon baharu namun tugas sebagai Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa merupakan satu bonus baginya dalam mendalami denyut nadi rakyat di DUN tersebut.
Beliau berkata, matlamat utamanya adalah menghapuskan kemiskinan di kawasan tersebut yang selama ini diabaikan oleh wakil rakyatnya walaupun bergelar Timbalan Menteri Besar.
“Sebelum dipilih menjadi calon lagi, saya sering turun padang dan melihat sendiri taraf hidup penduduk di sini yang rata-rata mengalami masalah kemiskinan.
“Jadi, jika diberi kepercayaan pada PRU 14 nanti, saya ingin mengubah taraf hidup mereka ke arah lebih baik.
“Saya berazam untuk membantu meningkatkan pendapatan di kawasan ini bagi membasmi kemiskinan. Kini, terbukti dengan wujudnya Pasar Tani Terapung di Pengkalan Datu, ianya telah wujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Program Ziarah Mesra bersama penduduk di Kampung Benting Lebar dekat Panchor di sini hari ini.
Menurut Zarina, antara manifesto di Dun Panchor adalah mewujudkan sebuah masjid moden; wujudkan zon pelancongan untuk memperkenalkan Pengkalan Datu dan memperkasakan belia Panchor dengan peluang pekerjaan.
“Selain itu, saya juga ingin menekankan isu kebersihan di kawasan ini dengan mengadakan kempen kebersihan pada setiap minggu bagi membasmi masalah penyakit berjangkit seperti denggi dan lain-lain.
“Masyarakat perlu peka dengan isu kesihatan bagi mewujudkan suasana yang lebih aman,” ujarnya.
Tambah Zarina, segala rancangan yang mahu dibawa di Panchor itu bagaimanapun tidak akan berjaya sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak diberi kepercayaan pada PRU nanti.
“Saya percaya pengundi akan terus memberi sokongan kepada BN bagi meneruskan agenda pembangunan di ka-wasan ini secara keseluruhannya. Insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada kita, “ ujarnya.
Sumber: Utusan Online | 6 Mei 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan