PASIR PUTEH: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka yang berkembar dengan kedai motosikal hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Belah di sini, awal pagi tadi.
Che Hasnah Idris, 62, berkata ketika kejadian pada 3.30 pagi itu, beliau bersama enam anggota keluarga termasuk tiga anak dan tiga cucu sedang nyenyak tidur.
"Secara tiba-tiba saya dikejutkan oleh anak perempuan Susila Mustafa, 41, yang menjerit api dan meminta saya dan semua anggota keluaga menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Che Hasnah bersyukur kerana kesemua anggota keluarganya terselamat walaupun mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api marak begitu cepat membakar rumah separuh papan itu.
Sementara itu, Susila berkata beliau hanya sempat mencapai beg tangan yang mengandungi beberapa dokumen penting manakala pakaian keluarganya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri habis musnah.
Beliau berkata kebakaran tersebut turut memusnahkan 200 motosikal baharu dan terpakai yang terdapat dalam kedai motosikal milik abang iparnya Abdullah Hussin.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Elmi Mustofar berkata pihaknya menghantar 17 anggota dengan dua jentera ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 3.57 pagi.
Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian dianggarkan lebih RM1 juta.
Sumber: Bernama | 3 Jun 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan