Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 22 Jun 2017

Hubungan Pusat, Kelantan bertambah erat

Mustapa Mohamed bersama wartawan dalam majlis Dialog dan Makan Colek Bersama Media Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Hubungan dan kerjasama yang semakin erat antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Pas Kelantan sejak akhir-akhir ini banyak memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hubungan erat tanpa mengira fahaman politik itu memudahkan kerajaan Pusat menyalurkan bantuan serta melak­sanakan pelbagai pemba­ngunan.

“Kita hanya mempunyai satu matlamat iaitu membaiki dan membawa perubahan di negeri ini. Sekarang kita berada di landasan betul seterusnya rakyat mendapat limpahan nikmat.

“Sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang kita akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan pelbagai masalah,” katanya ketika berucap dalam majlis Dialog dan Makan Colek Bersama Media Kelantan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Abdul Aziz Derashid; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahya Mamat dan 75 pengamal media di negeri ini.

Dalam majlis tersebut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan dan beramah mesra dengan wakil-wakil media.

Mengulas lanjut, Mustapa ber­kata, agensi-agensi kerajaan digesa menjalinkan kerjasama erat dengan pihak media bagi memudahkan segala maklumat disalurkan kepada rakyat.

“Masyarakat perlu mendapat maklumat yang tepat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan media baharu yang maklumatnya belum tentu sahih.

“Orang ramai kalau tidak mendapat maklumat tepat, mereka akan mudah percaya dengan pelbagai fitnah. Jadi saya harap kedua-dua pihak dapat memainkan peranan dengan berkesan,” katanya.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Politik | 21 Jun 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan