KOTA BHARU: Para petani yang terlibat dalam penanaman kenaf dijangka memperoleh pendapatan yang lebih baik berikutan usaha kerajaan untuk memajukan lagi industri tanaman itu.
Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Samsudin Noor berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM110 juta kepada agensi itu dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), berbanding RM105 juta dalam RMK-10.
Beliau berkata pihaknya yakin peserta yang mengusahakan tanaman itu di kawasan seluas 10 hektar mampu menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM2,000 sekarang.
"Tanaman kenaf akan diusahakan setanding dengan komoditi lain terutama getah dan kelapa sawit yang kini telah berada di pasaran global.
"Ia akan dibangunkan sebagai tempat pergantungan kepada penduduk kampung mendapat pendapatan daripada produk hiliran," katanya ketika berucap pada Majlis Sekalung Budi LKTN di sini, hari ini.
Samsudin berkata sehingga kini 2,200 hektar kenaf telah ditanam di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak 2010 membabitkan lebih 1,000 petani.
Majlis itu diadakan bagi meraikan bekas Pengerusi LKTN Datuk Jazlan Yaakub yang dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bermula 29 Julai lepas.
Hadir sama Pengerusi LKTN Datuk Mohd Adhan Kechik yang dilantik mulai 1 Sept lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Zawawi Othman dan anggota Lembaga Pengarah LKTN Zulkifli Ali.
Sumber: Bernama | 15 Nov. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan