KOTA BHARU: Sebanyak 2,228 peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Gua Musang bakal memperoleh geran hak milik tanah ladang sawit dan getah, setelah menunggu lebih 10 tahun.
Pengurus Besar Kesedar Fazam Mat Lazim berkata geran itu akan diserahkan kepada peneroka secepat mungkin selepas syarikat juruukur bertauliah selesai melakukan kerja ukur di kawasan ladang seluas 2,566 hektar itu.
"Kerja ukur tanah itu kini sedang giat dilakukan dengan kerjasama Pejabat Tanah Gua Musang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek bayaran premium tanah dan dokumen hak milik tanah Kesedar di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Fazam menyerahkan replika cek bayaran premium tanah sebanyak RM9.11 juta kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.
Fazam berkata Kesedar perlu membayar premium berjumlah RM69 juta secara berperingkat kepada kerajaan negeri melalui PTG untuk memperoleh geran hak milik ladang tersebut dan setakat ini sebanyak RM19 juta telah dibayar.
Sementara itu, Mohd Faudzi berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kesedar dalam menyelesaikan pemberian geran hak milik tanah ladang kepada peneroka dan berharap pemberian tersebut mengembirakan mereka.
Dalam perkembangan lain, Fazam berkata Kesedar sedang bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk mewujudkan Edubiz Park, sebuah kompleks perniagaan dan pendidikan di Gua Musang.
"Edubiz Park yang dirancang dibangunkan di kawasan seluas 78.4 hektar itu akan dilengkapi kemudahan seperti bangunan-bangunan pendidikan, ruang perniagaan dan perumahan," katanya.
Beliau berkata kos untuk pembangunan projek tersebut belum dimuktamadkan dan kerja pembangunan dijangka bermula tahun depan.
Katanya, Edubiz Park itu akan memberi pelbagai manfaat kepada penduduk jajahan Gua Musang termasuk ruang perniagaan kepada golongan muda.
Sumber: Bernama | 21 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan