Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 8 Januari 2016

ATM beri khidmat kesihatan percuma kepada penduduk Kampung Pemberian, Kuala Krai

KUALA KRAI: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Pemberian di sini, berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Projek Jiwa Murni, selama dua hari bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Pemberian, Zulkifli Omar berkata sebelum ini, penduduk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di Manik Urai di sini namun menghadapi kesukaran apabila jambatan menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor runtuh akhir bulan lepas.

"Apabila ada pemeriksaan kesihatan yang dianjurkan oleh ATM, penduduk di kampung ini tidak menjadi masalah untuk datang melakukan pemeriksaan," katanya kepada pemberita sempene Projek Jiwa Murni 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Balai Raya Kampung Pemberian di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Esah Md Zain, 61, berkata beliau gembira kerana berpeluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang disediakan ATM.

"Apabila ada pemeriksaan secara percuma ini, saya ambil peluang untuk turut serta walaupun saya tidak ada masalah kesihatan yang serius cuma sakit sendi sahaja," katanya.

Seorang ibu tunggal, Limah Sulaiman, 80, berkata beliau terpaksa berulang-alik untuk menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Manik Urai bagi merawat penyakit darah tinggi yang dihidapinya.

"Saya bersyukur tentera datang buat pemeriksaan di kampung ini, kalau boleh saya nak program ini sentiasa ada di sini," katanya.

Pegawai Perubatan 16 RAMD, Dr Suhana Zainal Azman berkata Projek Jiwa Murni itu akan diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Beliau berkata sekiranya terdapat pesakit yang perlu mendapatkan rawatan lanjut, pihaknya akan merujuk pesakit tersebut ke Hospital Kuala Krai.

Sebanyak dua pegawai perubatan dari 16 RAMD dan tujuh anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) terlibat dalam Projek Jiwa Murni berkenaan.

Sumber: Bernama | 8 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan