KOTA BHARU: Indah Water Konsortium (IWK) bakal mengambil alih tugas menguruskan sisa pembetungan di sini bermula Mei nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, untuk merealisasikan impian tersebut, pihaknya telah mengadakan perbincangan IWK, minggu lalu.
“Kita sudah bincang dengan IWK bagaimana untuk mempercepatkan proses penyerahan kerja pembetungan ini kepada IWK. Selepas ini kita akan bincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pula untuk memastikan peralihan ini berlaku dengan cepat dan baik.
“Kita jangka bulan Mei ini, tapi saya minta ia dipercepatkan lagi supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak terlalu terbeban,” katanya kepada media di sini semalam.
Beliau hadir di Majlis Pelancaran Sistem E-Perakuan dan Penyampaian Hadiah Kempen Sedut dan Menang 2015 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengarah Eksekutif Maajari Service Sdn.Bhd, Ahmad Zakie Ahmad Shariff.
Menurutnya, jaminan tiada proses pemberhentian kerja berlaku melibatkan kakitangan Majaari Service Sdn.Bhd turut diberikan kerana semua kakitangan akan diserap di bawah IWK selepas ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas, sistem E-Perakuan yang baru dirasmikan itu akan membantu memudahkan lagi semua pihak berurusan dengan Majaari Service selepas ini.
“Ia merupakan satu inovasi baharu untuk bantu kurangkan masalah pengurusan ataupun pentadbiran. Maknanya selepas ini semua pihak akan mengetahui apa yang perlu dan apa yang telah mereka lakukan itu sudah mendapat kelulusan atau tidak. Dalam masa 14 hari mereka akan dapat jawapan. Inovasi ini akan membantu banyak pihak terutamanya orang ramai,” katanya.
Beliau turut memberitahu, malah Kempen Sedut dan Menang juga adalah untuk memastikan rakyat Kelantan sentiasa sedar dan bersama-sama Majaari untuk menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya melibatkan penggunaan air bawah tanah.
“Tahun ini juga kita akan gerakkan PBT untuk bersama dengan Majaari bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk memastikan mereka mengosongkan tangki septik mereka. Kita mahu semua pihak mengambil langkah sebagaimana keperluan. Dan kami memberi jaminan, sehingga kini, tiada sebarang peningkatan kos berlaku,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 11 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan