Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 8 Januari 2016

Jambatan baharu Kampung Pemberian-Kampung Manjor mudahkan pelajar ke sekolah - Ab Aziz

KOTA BHARU: Jambatan baharu yang bakal dibina kerajaan Persekutuan bagi menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor di Kuala Krai akan memudahkan perjalanan ulang-alik murid dan guru ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah berkata jambatan dengan kos RM40juta itu akan lebih selamat digunakan guru dan pelajar berbanding jambatan sebelum ini, yang runtuh akibat rempuhan kayu balak yang hanyut dibawa arus Sungai Lebir baru-baru ini.

"Kami cukup berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan terutama (Pengerusi Majlis Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turun padang dan meluluskan peruntukan segera membina jambatan sementara bulan ini.

"Ini diikuti pula pembinaan jambatan kekal itu pada tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Maulidur Rasul dan Sanjungan Budi di Kompleks JPN di sini, Rabu.

Ab Aziz berkata pembinaan jambatan itu bukan hanya akan memberi kemudahan kepada 114 murid SK Pemberian tetapi juga kepada penduduk Kampung Pemberian dan Kampung Manjor.

Beliau turut menghargai sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan jambatan sementara 'jetfloat' yang menghubungkan dua kampung berkenaan untuk membantu murid dan guru berulang alik ke SK Pemberian.

Sementara itu, mengenai urusan pertukaran murid Orang Asli SK Tohoi, Gua Musang termasuk Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yacob, 10, ke sekolah lain, Ab Aziz berkata pihaknya akan membantu pertukaran berkenaan mengikut prosedur sedia ada.

"Daripada maklumat yang diterima kita lihat kecenderungan murid (SK Tohoi) untuk bersekolah di SK Kuala Betis (Gua Musang)... Kita akan bantu permudahkan proses itu, cuma kita masih memerlukan kerjasama dan persetujuan ibu bapa murid untuk melancarkan proses berkenaan," katanya.

Beliau berkata setakat ini 70 peratus daripada murid di 12 sekolah Orang Asli di Kelantan telah hadir ke sekolah manakala 30 peratus lagi gagal berbuat demikian berikutan kekangan jalan yang rosak walaupun Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ada menyediakan kenderaan untuk mereka.

Ab Aziz berkata jumlah itu termasuk 99 murid dari sembilan kampung sekitar SK Tohoi dikenal pasti tidak hadir ke sekolah berikutan masalah jalan berlumpur.

Sebelum ini, Norieen dan Miksudiar dilapor menyuarakan hasrat mereka berpindah ke SK Kuala Betis kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka Ogos tahun lepas.

Pada Ogos tahun lalu, tujuh murid SK Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selain Miksudiar dan Norieen, lima lagi kanak-kanak yang hilang ialah Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, dengan kesemua mereka dari Kampung Gawin dan Kampung Penad.

Selepas hampir 50 hari hilang di dalam hutan, empat daripada kanak-kanak itu - Ika, Haikal, Linda dan Juvina ditemui mati. Seorang lagi mangsa, Sasa belum ditemui.

Miksudiar dan Norieen ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai di hutan Tohoi.

Sumber: Bernama | 6 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan