Ahmad (tengah) bertukar dokumen dengan Johari (dua, kanan) pada majlis berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim, semalam. |
KOTA BHARU: Pemaju hartanah, Jalur Saujana Sdn Bhd, bakal membangunkan projek pembinaan pangsapuri 24 tingkat di Telipot, di sini.
Pengarah Eksekutifnya, Johari Zainal berkata, pembinaan itu dijangka bermula tiga bulan lagi dan siap dalam tempoh tiga tahun.
“Menerusi pembinaan ini, kami menawarkan empat jenis antaranya, pangsapuri studio, satu bilik dan tiga bilik.
“Menariknya, pangsapuri ini dikhaskan untuk pembeli Islam sahaja dan itu adalah cadangan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
“Ini kerana, kawasan yang dibangunkan itu bersebelahan dengan masjid dan mengelakkan masalah berbangkit,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bersama Jalur Saujana Sdn Bhd dan ICT Incubator Centre Sdn Bhd, di Kompleks Kota Darul Naim.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.
Johari berkata, unit-unit pangsapuri akan dijual pada harga RM400,000 manakala unit studio pula dijual pada harga RM200,000 dan ke bawah.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 20 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan