Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 16 Januari 2016

KADA sasar purata hasil padi 10 metrik tan sehektar bagi projek NKEA padi

TUMPAT: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyasarkan purata hasil tanaman padi bagi sawah di bawah projek Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) di negeri ini mencapai 10 metrik tan sehektar menjelang 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini, terdapat 16 projek NKEA yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,600 hektar di negeri ini dengan purata hasil padi antara 5 dan 6 metrik tan sehektar.

Melalui projek berkenaan, tanaman padi dilaksanakan secara komersial dan pengurusan berpusat dengan mempertingkatkan kepadatan pengairan dan saliran serta menggandakan penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan pengeluaran padi, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek dan Penyampaian Insentif bagi Projek NKEA (Padi) Bendang Datuk Paduka Morak di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut dan pemilik sawah akan diberi insentif sebanyak RM2,000 semusim tanaman.

Pada majlis itu, seramai 339 petani Projek NKEA Datuk Paduka Morak menerima insentif berjumlah RM157,934.

Sumber: Bernama | 16 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan