KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat hari ini dirayu supaya mengambil alih keseluruhan projek pembinaan lebuh raya rakyat di bawah projek Jalan Central Spine dari Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 30 km, menurut seorang anggota Parlimen pembangkang.
Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat walaupun kerajaan Kelantan mampu membina sebahagian laluan berkenaan.
“Bolehkah kerajaan Pusat ambil semua sekali? Tiada kerajaan negeri yang membina lebuh raya sendiri dan salah satu negeri yang tidak mempunyai lebuh raya ialah Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merayu kerajaan Pusat mengambil alih keseluruhan pembinaan laluan baharu dari Kota Bharu ke Kuala Krai dalam soalan tambahan kepada Kementerian Kerja Raya.
Projek membina dan menaik taraf jalan Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh 30 km itu adalah termasuk di bawah projek Jalan Central Spine dari Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh 61.5 km yang melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam jawapannya berkata projek itu dibuat secara berperingkat dan dipecahkan kepada tiga fasa iaitu pakej satu dari Wakaf Siku ke Kadok sepanjang 11.4 km; pakej dua dari Kadok ke Bukit Tiu di Machang (28.9 km); dan pakej tiga dari Bukit Tiu ke Kuala Krai (21.1 km).
“Pakej tiga didapati selari dengan jajaran Lebuh Raya Rakyat yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan dari Bukit Tiu di Machang ke Dusun Damar di Kuala Krai sepanjang 30 km dan kementerian telah dimaklumkan bahawa kerajaan negeri hanya berhasrat untuk melaksanakan projek itu untuk jarak 10 km manakala baki 20 km akan diserahkan kepada kerajaan Pusat.
“Hanya selepas kegagalan kontraktor yang dilantik dan kekangan kewangan maka selepas itu kerajaan Kelantan cuba bincang dengan kerajaan Pusat dan kerajaan Pusat sebagai sebuah kerajaan yang prihatin mendengar cuma dari segi keputusan kita belum dapat dari agensi pusat,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini tidak ada permintaan untuk kerajaan Pusat ambil alih keseluruhan 30 km.
“Kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan kerajaan Kelantan dalam melaksanakan projek pembinaan lebuh raya ini,” katanya.
Beliau berkata fasa satu dan dua bagi projek itu sudah dijalankan masing-masing pada April 2014 dan April tahun ini dan dijangka siap pada April 2017 dan April 2018. Sementara baki jajaran itu akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11.
Dalam pada, itu Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata projek membina jalan baharu dan menaik taraf Jalan Central Spine melibatkan laluan Jalan Persekutuan lapan dari Bentong-Raub-Lipis-Gua Musang dan Kuala Krai bernilai RM6.6 bilion di bawah (RMK11) telah dipecahkan kepada enam pakej pembinaan.
“Keutamaan kerajaan adalah untuk membina pakej tiga melibatkan laluan jalan antara Merapoh ke Kampung Relong di Lipis, Pahang dan setakat ini 37.4km jalan baharu atau hampir 10 peratus dari jarak keseluruhan projek telah siap dibina dan dibuka kepada lalu lintas.
“Ia melibatkan laluan dari Kampung Kubang Rusa ke Felda Chegar Perah 2 dan Kampung Kechur di Kuala Lipis yang memendekkan perjalanan dari 90 minit kepada 20 minit,” katanya.
Tambahnya subpakej tiga yang sedang dibina melibatkan laluan kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai sepanjang 3.85km dan laluan Merapoh ke Kampung Kubang Rusa sepanjang 14km yang dijangka siap pada Oktober 2016 dan Mac 2018.
“Di samping itu, sebahagian laluan pakej lima antara Raub ke Bentong dari Kampung Asap ke Kampung Sertik sepanjang 3.85km baru sahaja memulakan pembinaan pada November ini manakala pakej lain Jalan Central Spine akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh RMK11,” katanya.
Sumber: Bernama | 3 Dis. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan