Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 23 Januari 2016

Medan Ilmu lokasi pertama IKBAR di Kelantan

Ahmad menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Ikbar di Dataran Ilmu, di sini.
KOTA BHARU: Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan menjadikan Medan Ilmu di Jalan Dato' Pati, di sini, sebagai lokasi pertama pelaksanaan Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) adalah bersesuaian dengan majlis-majlis ilmu yang sering diadakan di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, selepas Medan Ilmu, pelaksanaan IKBAR akan diperluaskan di kawasan awam seperti stesen bas dan pusat rekreasi.

Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan tempoh enam bulan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai usaha mendidik masyarakat dan memastikan negeri ini bebas asap rokok.

"Untuk permulaan, proses didikan yang digunakan lebih kepada bentuk nasihat dan memberi maklumat mengenai bahaya asap rokok kepada keluarga serta masyarakat sekeliling.

"Peringkat pertama adalah proses mentarbiah, antaranya melalui pameran dan perkongsian maklumat mengenai tabiat merokok yang boleh menyebabkan kanser serta masalah kesihatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan IKBAR Peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri berharap kesedaran dalam kalangan rakyat terutama golongan pelajar semakin meningkat dan mereka bebas daripada amalan yang merugikan ummah.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood memberitahu, melalui pelaksanaan Ikbar, kerajaan negeri akan mewartakan zon larangan merokok.

Menurutnya, dua zon dicadangkan bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu zon eksklusif dan zon inisiatif.

"Zon eksklusif melibatkan larangan merokok di dalam dan luar bangunan termasuk kaki lima serta jalan raya, manakala zon inisiatif melibatkan larangan merokok di dalam bangunan meliputi kawasan diwartakan.

"Terdapat sebanyak 24 zon bebas asap rokok di negeri ini dan difahamkan semua peta-peta zon dicadangkan telah disemak dan diambil tindakan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Kelantan," katanya.

Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 17 daripada keseluruhan zon bebas asap rokok telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk proses pewartaan.

"Menerusi Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, kita telah mewartakan 21 premis atau kemudahan sebagai kawasan bebas asap rokok bagi melindungi kepentingan kesihatan orang awam dan menjaga hak bukan perokok.

"Sesiapa yang dijumpai menghisap rokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan