Azmi Osman (kanan) memeriksa sebuah jentera bomba ketika majlis penyerahannya pada Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan. |
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan membina parit mengandungi air di kawasan hutan mudah terbakar sebagai langkah menyekat kebakaran tanah gambut yang kerap berlaku ketika musim kemarau.
Pengarahnya Azmi Osman berkata setakat ini, kaedah itu sedang dilaksanakan di dua lokasi yang kerap berlaku kebakaran hutan iaitu di Kampung Beris Lalang, Bachok dan Rantau Panjang, Pasir Mas.
"Parit tersebut yang kita bina dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mampu menghalang api daripada merebak ke kawasan lebih luas," katanya kepada pemberita pada majlis perbarisan tahunan JBPM Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Azmi menyerahkan peralatan operasi dan jentera bomba bernilai RM4.3 juta kepada Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Pasir Puteh dan Pengkalan Chepa, selain pemakaian tanda pangkat pegawai bomba dan penyampaian sijil penghargaan kepada orang awam.
Azmi berkata pihaknya juga menempatkan lima lori tangki berkapasiti 20,000 liter air di beberapa balai bomba strategik untuk digunakan ketika kebakaran selain mengadakan kerjasama dengan agensi yang turut memiliki lori tangki sebagai sokongan tambahan.
Dalam pada itu, Azmi berkata tiga balai bomba baharu akan dibina tahun ini iaitu di Kuala Krai; Tok Bali, Pasir Puteh; dan Wakaf Baharu, Tumpat, dengan peruntukkan lebih RM15 juta.
"Pembinaan di ketiga-tiga kawasan tersebut amat wajar memandangkan lokasinya yang sedang membangun dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah," katanya.
Sementara itu, seorang nenek, Zariah Mat, 63, menerima sijil penghargaan setelah beliau nekad merempuh masuk rumah untuk menyelamatkan cucunya dalam kejadian kebakaran di Kampung Gual Petai 5 Teransil, Tanah Merah, pada Nov tahun lepas.
Tindakan berani itu menyebabkan 10 peratus bahagian badan termasuk muka dan tangannya melecur selain menerima rawatan selama 23 hari di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
"Saya amat bersyukur kerana berjaya selamatkan cucu walaupun dua kali rebah di dalam rumah ketika itu," kata Zariah.
Sumber: Bernama | 25 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan