KOTA BHARU: Kes tatatertib membabitkan pegawai dan anggota polis di negeri ini pada tahun lepas menurun kepada 58 kes berbanding 69 kes pada 2014, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.
Katanya penurunan itu adalah hasil pemantapan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihaknya sepanjang tahun lepas.
"Berdasarkan perkembangan ini, kita sasarkan kes jenayah yang membabitkan pegawai dan anggota polis Kelantan mampu diturunkan kepada tahap sifar tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai yang diwartakan, Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor dan Persatuan Pegawai Rendah Polis peringkat Kontinjen Kelantan 2016 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Rabu.
Mazlan berkata bagi mencapai sasaran itu peranan SKDD akan diperkasakan dengan mengetengahkan elemen '5M' iaitu memperkasa, memfokus, memantap, memantau dan merealisasi.
"Kita juga akan melantik seorang penyelia khas yang akan memantau enam pegawai mahupun anggota di bawahnya pada satu masa selain memastikan pengisytiharan harta masing-masing.
"Pemantapan SKDD ini penting supaya semua ruang dapat ditutup daripada sebarang penyelewengan dan salah laku dalam kalangan pegawai serta anggota polis di negeri ini," katanya.
Mazlan berkata langkah tegas itu juga penting bagi menjaga imej dan peranan Polis Diraja Malaysia yang sepatutnya menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.
Beliau berkata antara kes tatatertib yang membabitkan pegawai dan anggota sebelum ini adalah salah guna kuasa, rasuah dan kes narkotik.
Sumber: Bernama | 6 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan