KOTA BHARU: Penaja utama The Red Warriors (TRW) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menafikan beliau sudah menempah cat berwarna merah jambu yang diberi nama DSV Pink daripada sebuah kilang cat di Kuala Lumpur.
Sebaliknya usahawan kosmetik terkemuka negara itu mengakui masih belum menjumpai mana-mana syarikat pengeluar cat yang boleh menghasilkan warna merah jambu seperti yang dikehendakinya.
"Saya pun tak tahu mengenai cat DSV Pink. Apa yang pasti kami masih lagi mencari kilang yang dapat mengeluarkan warna shocking pink.
"Banyak kilang cat bagi sampel kepada kita tapi warna yang dihasilkan tak sama dengan yang saya nak," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
Justeru beliau mengalu-alukan lebih banyak syarikat mengeluarkan sampel warna tersebut.
"Ya (syarikat pengeluar cat) dialu-alukan (untuk bagi sampel). Saya perlukan warna pink itu dengan segera," katanya.
Beliau berkata buat masa ini, syarikat kontrak yang dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Impian Berkat Trading akan memulakan kerja mengecat bahagian dalam dan luar stadium dengan warna putih terlebih dahulu.
"Buat masa ini mereka akan mulakan dengan warna putih dulu sementara menunggu warna shocking pink yang saya nak dikeluarkan," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida melakukan tinjauan selama hampir sejam ke Stadium Sultan Muhammad IV yang sedang melalui proses pengubahsuaian petang Jumaat.
Walaupun gembira stadium itu akan berubah wajah dalam tempoh kurang tiga minggu lagi dari sekarang, Vida mahu kontraktor yang dilantik melakukan kerja pembersihan di kawasan tempat duduk berbatu yang masih lagi dikotori dengan kulit kuaci.
"Saya rasa kerja pembersihan masih perlu dilakukan terutamanya di tempat duduk berbatu ini. Mulai bulan depan kuaci dilarang dibawa memasuki stadium.
"Kita tak nak kekotoran seperti ini. Jika (kuaci) dibenarkan bawa masuk ke dalam inilah jadinya, kulit kuaci berselerak. Jadilah penonton yang berdisiplin," katanya.
Terdahulu Vida mengumumkan stadium tersebut akan mempunyai pagar dan laluan khas untuk wanita, keluarga dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Kita nak penonton datang beramai-ramai tengok bola tanpa perlu rasa risau. Kita cuba terapkan konsep kekeluargaan di stadium ini," katanya.
Selain itu, beliau berkata kerja-kerja naik taraf tandas akan dilakukan secara berperingkat supaya tidak mengganggu perjalanan perlawanan.
"Kita akan tukar mozek, ini akan dilakukan fasa demi fasa supaya tidak mengganggu perlawanan. Kita perlu perancangan teliti supaya tak nampak cacat celanya nanti," katanya.
Bagi memastikan keselesaan pemain, Vida berkata bilik persalinan pemain akan diubah suai menjadi ruang yang lebih besar dan luas.
"Kita akan besarkan ruang bilik persalinan. Ini penting supaya pemain dapat mood sebelum perlawanan," katanya.
Jelas beliau lagi, surau turut akan diubah suai supaya penonton yang hadir dapat menunaikan solat dengan selesa sebelum perlawanan bermula.
Sumber: mStar Online | Sukan | 23 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan