Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 3 Januari 2016

ATM lancar Op Murni bantu pelajar, guru seberangi Sungai Lebir

KUALA KRAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melancarkan Op Murni bagi membantu murid, pelajar dan guru di Kampung Pemberian dan Kampung Manjor di sini, untuk menyeberang Sungai Lebir pada hari pertama persekolahan hari ini.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16RAMD) Lt Kol Mohd Balkhishah Baharuddin berkata perkhidmatan tersebut melibatkan empat bot untuk mengangkut mereka menyeberang sungai selepas jambatan yang menghubungkan kedua-dua kampung berkenaan musnah dirempuh balak dalam kejadian banjir minggu lepas.

"Kami mula beroperasi pada 7 pagi tadi untuk membawa murid, pelajar dan guru dari kedua-dua kampung menyeberang Sungai Lebir ini dengan kesemua penumpang perlu memakai jaket keselamatan.

"Seramai 20 anggota ditugaskan untuk mengedalikan bot tempur jenis B-Bottom serta mengawal keselamatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata sebuah bot tempur itu mampu memuatkan seramai 10 orang pada satu-satu masa.

Jumaat lepas, 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD) membina jambatan sementara jenis 'Jetfloat' bagi memudahkan urusan penduduk kampung berulang-alik, namun ia terpaksa dibuka berikutan air sungai yang naik selepas hujan, yang turut membawa sisa kayu balak.

Sementara itu, Penolong Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai Nik Rozman Yaakob berkata 18 guru dan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian yang tinggal di Kampung Manjor menggunakan perkhidmatan itu.

"Ia turut melibatkan 55 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh yang tinggal di Kampung Pemberian untuk ke sekolah mereka yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampung berkenaan," katanya.

Seorang murid SK Pemberian Raja Wafiy Izzuan Raja Lokman, 7, berkata dia berasa takut dan berdebar apabila terpaksa menaiki bot menyeberang sungai untuk ke sekolah.

"Ini hari pertama saya ke sekolah, tapi terpaksa naik bot. Air sungai deras, saya rasa takut," katanya.

Guru Besar SK Pemberian Razali Omar berkata walaupun agak sukar dan terpaksa menggunakan bot ke sekolah tetapi beliau bersyukur kerana ATM telah banyak membantu memberi kemudahan khususnya kepada guru dan murid serta penduduk kampung.

Sumber: Bernama | 3 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan