TAWAU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan memulakan program perintis keusahawanan selama setahun yang akan memberi manfaat kepada 100 belia dari komuniti terpinggir di Malaysia termasuk 20 belia di Tawau mulai akhir Januari ini.
Ketua Program bagi Geran Penyelidikan Jangka Panjang Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia UMK Prof Dr Raja Suzana Raja Karim berkata program itu merupakan susulan perencanaan atau penyelesaian kepada hasil kajian penyelidikan yang dilakukan selama dua tahun sebelum ini.
Beliau berkata hasil penyelidikan mengenai 'Youth in Marginalized Communities: towards Regenerating Youth Development' itu akan menumpukan kepada belia yang memiliki tiga kriteria yang ditetapkan untuk diperkasakan ke arah belia keusahawanan sosial.
Kriteria itu meliputi belia di Malaysia berumur antara 15 dan 25 tahun serta belia yang berlatarbelakangkan daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah RM3,500 (miskin bandar) serta RM2,000 (luar bandar) seterusnya lokasi belia tersebut dibesarkan.
Suzana berkata belia yang terpilih dalam program keusahawanan itu akan diberi sokongan latihan untuk berniaga selain mendapat bimbingan daripada usahawan berjaya yang dilantik.
"Belia ini akan diberi latihan membangunkan perniagaan (membuka syarikat) dan seterusnya akan disokong secara tunjuk ajar dan mentor dalam tempoh 18 hingga 24 bulan bagi memastikan kejayaan belia ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh program perintis itu dilaksanakan, ukuran perubahan belia sebagai usahawan baharu akan dinilai dalam bentuk Pulangan Sosial atas Pelaburan (SROI).
"SROI ini kita bukan melihat semata-mata pada pulangan kewangan tetapi dari sudut perubahan belia ini iaitu jika sebelum ini belia ini tidak memiliki apa-apa dan mereka ini mungkin memiliki perubahan pada tingkah laku diri serta kewangan," tambahnya.
Jelas Suzana terdapat lima jenis perniagaan yang mendapat perhatian para belia untuk dibangunkan iaitu perniagaan dalam talian, perniagaan berunsurkan kesihatan dan kecantikan, perniagaan agrotani, perniagaan usahawan ilmu termasuk pusat tuisyen, perniagaan fesyen dan jahitan serta perniagaan bakery dan pastry.
"Seramai 20 belia di Tawau ini akan menumpukan perniagaan kepada bakery dan pastry ini sahaja dan kami akan lihat hasilnya dalam setahun," tambahnya.
Sementara itu bagi mengukuhkan kewangan 20 belia di Tawau itu, Suzana turut meminta agar Kementerian Belia dan Sukan Negeri serta agensi pinjaman kerajaan seperti Mara, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia supaya dapat bersama membantu anak-anak muda daerah itu untuk diperkasakan menjadi usahawan berjaya.
"Kalau boleh saya mahu mereka ini diberi bantuan kewangan dalam bentuk geran atau cagaran yang mana mungkin bantuan itu mereka tidak perlu bayaran secara bulanan balik tetapi secara SROI," katanya.
Bagi Suzana, belia terpinggir itu perlu diperjuangkan ekoran anak muda yang datang daripada keluarga susah itu tidak memiliki keselamatan bagi membolehkan mereka keluar daripada kelompok garis kemiskinan.
"Sekarang ini untuk mulakan perniagaan sekarang pun susah. Kita kena wujudkan sokongan dan bantuan yang pastinya akan memberi nilai pulangan besar kepada ekonomi belia itu dan negara. Kalau tidak anak-anak ini akan terbiar," katanya lagi.
Sumber: Bernama | 16 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan