Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 1 Januari 2016

ATM bantu bina jambatan sementara di Kampung Pemberian, Kuala Krai

KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina sebuah jambatan sementara menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor di Kuala Krai bagi menggantikan jambatan yang runtuh akibat arus deras Sungai Lebir berikutan banjir beberapa hari lepas.

Panglima 8 Briged Infantri Brig Jen Zarondin Md Amin berkata jambatan itu dibina sepasukan lima pegawai dan 90 anggota dari 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD) dan Batalion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16RAMD) yang berpangkalan di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini.

"Jambatan sementara yang dibina sepanjang 80 meter menggunakan dua set 'Jetfloat' dengan keseluruhan 1,600 unit platform yang boleh terapung dan khas untuk pejalan kaki sahaja.

"'Jetfloat' ini sesuai digunakan dalam pelbagai iklim dan mampu menahan angin kencang dan gelombang air yang tinggi, selain dapat menampung beban sehingga 30 tan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Beliau berkata pembinaan jambatan sementara itu yang diketuai Pegawai Memerintah 7 Skn RAJD Mej Mohd Salim Mohamad bermula pukul 10 pagi ini dan dijangka siap sepenuhnya 10 pagi esok.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Pemberian, Zulkifli Omar berkata pembinaan jambatan itu akan memberi kemudahan kepada hampir 2,000 penduduk.

Sumber: Bernama | 1 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan