PASIR PUTEH: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM40 juta untuk mendalamkan Terusan Semerak, Tok Bali di sini bagi membolehkan bot nelayan melalui terusan itu untuk mendaratkan hasil tangkapan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.
Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) Kemasin Semerak, Mohamed Kaberi Ghani berkata tender bagi kerja mendalamkan terusan sepanjang 7.5 kilometer itu akan dikeluarkan tidak lama lagi dan projek itu dijangka siap tahun depan.
"Pada masa ini bot laut dalam sukar memasuki terusan itu kerana dasarnya yang cetek iaitu berada pada paras 4 meter sedangkan kedalaman yang diperlukan 8 meter," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran insentif projek Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan Tiga Daerah (PPK) di sini, Rabu.
Seramai 190 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di Kampung Kemudu, Kampung Bongkok dan Kampung Gong Nangka di sini menerima bantuan itu berjumlah RM508,320.
Mohamed Kaberi berkata ini kali pertama terusan itu didalamkan sejak dibina pada 1982.
Mohamed Kaberi berkata apabila projek itu siap, dijangka lebih ramai lagi pengusaha bot laut dalam akan membina jeti pendaratan masing-masing di sepanjang terusan itu.
Selain itu, beliau berkata kerjaan pusat meluluskan peruntukan RM10 juta untuk mendalamkan beberapa sungai yang bersambung dengan terusan itu.
Sumber: Bernama | 20 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan