Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 20 Januari 2016

LPT3 bermula dari Pengkalan Kubor

Hanifa Ahmad (barisan kedua, lima dari kiri) bersama penerima pampasan bagi pengambilan tanah untuk projek Air Kelantan di Mukim Chetok, Pasir Mas, Kelantan, semalam.
PASIR MAS: Kerajaan Pusat secara dasarnya bersetuju untuk membina Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat untuk disambungkan dengan LPT2 di Gemuruh, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, pembinaan infrastruktur tersebut akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata, lebuh raya itu akan dibina melalui kawasan pesisir pantai di negeri ini dan Terengganu.

Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk memulakan projek ini di Pengkalan Kubor melibatkan pesisiran pantai dan terus ke Gemuruh di Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Pengambilan Balik Tanah Untuk Pembinaan Laluan Air Mentah di Mukim Chetok Bagi Projek Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Hab Halal Pasir Mas di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberi­tahu, projek LPT3 dari Gemuruh, Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor, bakal diteruskan bagi meng­atasi kesesakan lalu lintas terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Dalam perkembangan lain, Hanifa memberitahu, projek Le­buh Raya Rakyat Kuala Krai-Kota Bharu dijangka selesai dalam tempoh dua tahun lagi.

Katanya, laluan sejauh 20 kilometer melibatkan Bukit Tiu ke Kuala Krai akan dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri akan bina laluan sejauh 10 kilometer bermula dari Bukit Bakar ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 19 Jan. 2016 | Terbitan 20 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan