Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 12 Januari 2016

MOA guna pam bergerak bantu petani hadapi kemarau

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan menggunakan pam bergerak ke kawasan pertanian, terutama kawasan tanaman padi, sebagai langkah persediaan menghadapi musim kemarau.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Azini Mohd Shahid berkata langkah tersebut penting bagi memastikan pengeluaran hasil tanaman terutama padi tidak terjejas.

"Kita akan gunakan semula pam bergerak yang disediakan sebelum ini dengan lebih memfokuskan kepada kawasan penanaman padi memandangkan tanaman ini memerlukan air yang banyak mengikut peringkat pembesaran berbanding tanaman selain padi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis taklimat Pemutuan Padi di Pusat Latihan Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA) di Persiaran KADA di sini, hari ini.

Azini berkata kementerian itu juga telah mengumpulkan data dan mengenalpasti kawasan-kawasan pertanian yang biasa dilanda kemarau di seluruh negara.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini kemarau belum mendatangkan kesan negatif kepada hasil pertanian walaupun suhu di beberapa negeri termasuk Kedah dan Perlis mencatat bacaan melebihi 35 darjah Celsius.

"Kita juga akan mengumpulkan maklumat bagi mendapatkan peruntukan bersesuaian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu petani atau peladang yang mengalami kerugian ekoran kemarau," katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail dilaporkan berkata Malaysia akan mengalami fenomena El Nino iaitu musim panas berpanjangan bermula hujung bulan ini hingga Mac depan.

Mengenai pemutuan padi, Azini berkata kaedah pemutuan sebenar padi yang dimulakan pada 1 Jan lalu akan digunapakai pada tuaian musim 1/2016 di Kelantan bermula April ini.

Beliau berkata Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan KADA perlu memberi penerangan kepada pesawah kerana sebahagian besar daripada mereka masih belum memahami kaedah tersebut.

Sumber: Bernama | 12 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan