KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan 28 pendatang asing tanpa izin dalam Ops Ikrar yang dilaksanakan selama dua hari bermula Sabtu lepas di Jajahan Kota Bharu dan Pasir Mas.
Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata pendatang asing terbabit berumur antara 24 higga 45 tahun, terdiri daripada 16 warga Indonesia, Thailand (tujuh), Myanmar (dua), Vietnam (dua) dan seorang warga Laos.
"Mereka yang terdiri daripada 16 lelaki dan 12 wanita ditahan kerana didapati tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan dan salah guna pas lawatan sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata 37 anggota jabatan tersebut terlibat dalam operasi berkenaan dengan membuat pemeriksaan di sebuah kilang kayu di Pasir Mas dan sebuah hotel serta dua restoran di sekitar bandar ini (Kota Bharu).
Beliau berkata kesemua pendatang asing tersebut dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Sumber: Bernama | 7 Ogos 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan