Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 25 Ogos 2017

Polis siasat dakwaan murid nyaris diculik di Tanah Merah

TANAH MERAH: Polis akan menjalankan siasatan berhubung laporan membabitkan dua kanak-kanak yang didakwa hampir menjadi mangsa penculikan didalangi warga asing di jajahan ini dalam kejadian pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohammed berkata polis hanya dimaklumkan mengenai kes itu menerusi laporan polis yang dibuat oleh keluarga kanak-kanak itu pada Isnin lepas.

"Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan dan polis telah mengambil keterangan daripada mereka. Siasatan lanjut berkaitan dakwaan itu akan dibuat," katanya di sini hari ini 

Sementara itu, ketika ditemui hari ini dua kanak-kanak itu, masing-masing berumur 9 dan 11 tahun yang masih trauma mengakui terpaksa melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak dan dinaiki dua lelaki yang dipercayai cuba menculik mereka, dalam kejadian itu.

Menurut mereka, kejadian bermula ketika mereka sedang bermain bola sepak bersama dua rakan lain kira-kira pukul 5 petang di Kampung Cermin, Gual Ipoh dekat sini, tiba-tiba dipanggil oleh dua lelaki tidak dikenali yang memperlahankan kereta, kononnya untuk bertanya arah ke Kampung Bukit Telaga.

Kedua-dua lelaki itu kemudian mengajak mereka menaiki kereta bagi membantu menunjuk arah laluan dan ketika sedang memasuki kereta mereka menyedari seorang daripada lelaki yang berada di kerusi belakang telah memakai topeng muka.

Difahamkan mereka kemudian cuba keluar dari kereta itu tetapi seorang daripada lelaki berkenaan segera mengunci pintu dan selain memberi amaran untuk diam, seorang daripada kanak-kanak itu turut dikenakan hirisan limau di mata bagi menggelakkannya melarikan diri.

Menurut kanak-kanak itu dalam keadaan cemas, mereka nekad melompat keluar dari kereta selepas membuka kunci pintu apabila kereta itu dipandu perlahan ketika melalui satu selekoh.

Kanak-kanak itu kemudian berlari untuk bersembunyi di belakang sebuah rumah dan hanya keluar untuk balik ke rumah selepas kereta itu beredar.

Kanak-kanak itu juga masih enggan ke sekolah akibat trauma sejak kejadian itu.

Sumber: Bernama | 24 Ogos 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan