KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan diminta menyiapkan projek-projek yang sudah dirancang dan diluluskan dengan lancar, selain meningkatkan pembangunan, kesejahteraan serta ekonomi negeri ini.
Mantan Pengarahnya, Shahimi Sharif berkata, antara projek berkenaan termasuk Projek Tebatan Banjir dan Projek di Pantai Kundor dan Mek Mas.
“Kejadian banjir akhir 2014 boleh dilihat sebagai satu ‘rahmat’ dengan lulusnya Projek-projek Tebatan Banjir oleh Kerajaan persekutuan untuk kedua-dua lembangan sungai utama, iaitu Sungai Golok dan Sungai Kelantan., malah pelaksanaan projek-projek ini akan bermula dalam masa terdekat.
“Semua kawasan kritikal yang dikenal pasti sudah pun dilindungi kecuali di Pantai Kundor dan Pantai Mek Mas, namun projek di Pantai Kundor dan Mek Mas dilulus di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK -11),” katanya, di sini.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Majlis Persaraannya, di sini, hari ini.
Shahimi mula berkhidmat dengan JPS sejak 26 Mac 1979 sebagai Pembantu Teknik, kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di University Glasgow, Scotland pada 1981 dan kembali ke JPS semula pada 1983 sebagai Jurutera.
Pernah bertugas sebagai Jurutera Daerah di Sabak Bernam, Selangor dan 11 tahun bertugas di Perak sebagai Jurutera dan Jurutera Projek, akhirnya beliau dilantik sebagai Pengarah pada 2006 di Melaka, seterusnya bertugas di Kelantan pada 2014.
Shaimi berkata, apa yang menjadi tumpuan di Kelantan ialah negeri ini berhadapan dengan keadaan banjir; cuaca dan sistem saliran utama iaitu di sungai-sungai utama menjadi tempat pengawasan pihak JPS.
“Selain itu, keadaan pantai di Kelantan secara keseluruhannya masih terkawal, yang mana keadaan ombak tinggi kebiasaannya dalam bulan Oktober hingga Januari.
“Semua kawasan kritikal yang dikenal pasti dilindungi kecuali di Pantai Kundor dan Pantai Mek Mas, bagaimanapun, projek di Pantai Kundor dan Mek Mas sudah diluluskan di bawah RMK-11.
“Projek-projek yang dilaksanakan pula ialah di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu, Pantai Irama dan Kemayan di Bachok serta Pantai Tok Bali di Pasir Puteh,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Ogos 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan