Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 25 Ogos 2017

PTPTN Kelantan peruntuk RM4 juta pendahuluan kepada bakal siswa

KOTA BHARU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi membiayai 2,692 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi bermula September ini.

Pengurus Besar PTPTN Kelantan Mohd Azrul Akmal Mamat berkata ia akan diagihkan kepada 10 kawasan Parlimen negeri ini dengan kebanyakan penerima tergolong daripada keluarga penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"WPP (Wang Pendahuluan Pembiayaan) adalah sebahagian daripada PTPTN dan mereka perlu membayarnya semula selepas tamat pengajian.

"Bagi pelajar yang mendapat WPP tetapi enggan membuat pinjaman PTPTN pula, mereka perlu membayar balik WPP dalam tempoh tujuh bulan selepas memperoleh perkerjaan kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan WPP Pelajar Ijazah Sesi 2017/2018 yang disempurnakan oleh Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu Tan Sri Mohd Fatmi Che Salleh di Bangunan UMNO Kelantan di sini hari ini.

Seramai 736 pelajar yang akan menyambung pengajian ke universiti pilihan masing-masing daripada tiga kawasan Parlimen iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian menerima WPP sebanyak RM1,500 seorang.

Sementara itu, Mohd Fatmi berkata program penyerahan WPP berjumlah RM1.1 juta itu diuruskan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Kota Bharu bagi program sarjana muda.

Beliau berkata wang pendahuluan itu adalah bagi kegunaan pelajar menguruskan segala keperluan peringkat awal sebelum melangkah ke universiti. 

"Saya nasihatkan pelajar agar menggunakan wang berkenaan untuk keperluan belajar sahaja dan janganlah digunakan untuk perkara lain kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada mereka pada masa depan," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Ogos 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan