KOTA BHARU: Warga Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan hari ini melakukan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), yang antara lain untuk menangkis persepsi buruk masyarakat terhadap jabatan berkenaan.
Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim berkata IBR itu diharap dapat memastikan semua pegawai dan kakitangan sentiasa berintegriti tinggi.
"Kita berharap dengan ketiadaan unsur rasuah serta tahap integriti tinggi, ia dapat mengurangkan ketirisan sekali gus meningkatkan hasil kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Moh Samsudin Yusof.
Zahari berkata sejak dua tahun lepas, tiada kakitangan Jabatan Perhutanan negeri didakwa di mahkamah berkaitan rasuah, manakala kurang daripada 10 kakitangan dikenakan tindakan tatatertib.
Sementara itu, Moh Samsudin berkata SPRM sedang menyiasat dakwaan berlakunya penjualan cuti sakit oleh klinik kesihatan kerajaan negeri yang dijual dengan harga di antara RM5 dan RM10.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ketua-ketua jabatan kerajaan supaya lebih kerap memeriksa rekod kesihatan pegawai dan kakitangan mereka supaya kegiatan itu tidak berleluasa.
"Kita sudah mengadakan banyak program IBR dan akan lihat selepas ini apakah ia berkesan terhadap sesebuah jabatan. Kita memberi amaran tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas," katanya.
Sumber: Bernama | 10 Ogos 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan