Dari kiri: Kuartet negara Muhammad Haiqal, Badrul Hisyam, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy selepas aksi 4X100m lelaki akhir di Bukit Jalil, semalam. |
Dalam final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, skuad negara yang dibarisi Badrul, Jonathan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Nixson Kennedy berjaya mencatat masa 39.27 saat sekali gus memadamkan rekod kebangsaan yang dilakukan mereka iaitu 39.62 saat pada Julai lalu di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam.
“Kami sudah cuba yang terbaik, walaupun tanpa pingat tapi Alhamdulillah kami dapat pecah rekod kebangsaan yang dibuat di Vietnam.
“Terima kasih kepada jurulatih, rakyat Malaysia dan keluarga yang hadir memberi sokongan, esok (hari ini) kami ada satu lagi acara 4x400m dan berharap dapat memperbaharui rekod kebang-saan sekali lagi. Andai dapat pingat ia satu bonus buat kami,” katanya yang turun pelari ketiga pada sai-ngan tersebut.
Emas dirangkul kuartet Thailand yang turut memperbaharui rekod temasya dengan catatan 38.90 saat berbanding rekod dipegang mereka sendiri, 38.95 saat manakala perak milik kuartet Indonesia sementara Filipina meraih gangsa.
Ketika ditanya adakah ketiadaan Khairul Hafiz Jantan mengganggu rentak larian kuartet negara, Badrul Hisyam menafikannya.
“Dalam sukan memang perkara itu berlaku, tetapi kami tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik dan buktinya kami pecah rekod kebangsaan,” katanya yang tidak meletak sebarang sasaran untuk acara 4x400 hari ini.
Dalam pada itu, kuartet wanita negara turut gagal menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 45.39 saat, jauh ketinggalan kuartet Vietnam yang memperbaharui rekod temasya dengan 43.88 saat untuk meraih emas.
Sumber: Sinar Harian | Sukan - Terkini | 26 Ogos 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan