Sebanyak 1,000 unit rumah PPR Kota Bharu disediakan dengan harga jualan RM35,000. |
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih RM150,000 subsidi untuk setiap rumah yang disediakan melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu yang terletak di Wakaf Mek Zainab, di sini.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan (Kelantan), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, untuk PPR Kota Bharu, sebanyak 1,000 unit rumah disediakan dengan harga jualan hanya RM35,000 sahaja.
“Kos rumah tersebut adalah hampir RM200,000, namun kerajaan beri subsidi lebih RM150,000. Ini hadiah untuk rakyat Kelantan, dan ini merupakan projek pertama besar-besaran Kerajaan Pusat untuk bantu rakyat Kelantan kerana harga pasaran untuk rumah tersebut adalah lingkungan RM300,000 melibatkan 710 kaki persegi,” katanya kepada media selepas mendengar taklimat berkenaan projek berkenaan di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Yahya Mamat.
Menurutnya, PPR Kota Bharu telah dilancarkan 13 Mac 2013 dan sepatutnya siap Jun lalu, namun atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan, ia dilanjutkan sehingga September, tahun ini.
Beliau memberitahu, ini merupakan salah satu daripada dua projek terbesar Kerajaan Persekutuan dalam perumahan, yang mana enam projek telah pun berjalan dengan peruntukan sebanyak RM554.5 juta.
“Ia melibatkan kawasan Gua Musang, Kota Bharu, Ayer Lanas dan Batang Merbau, manakala Gual Ipoh dan Machang baru sahaja bermula. Kota Bharu mencatatkan peruntukan terbesar iaitu RM188.6 juta dan Gua Musang RM167.6 juta melibatkan 1,000 unit setiap kawasan.
“Kita ucap terima kasih kepada Kerajaan Pusat juga kerana telah meluluskan dua lagi projek iaitu satu di Ketereh, melibatkan 200 unit dengan kos RM35 juta, dan satu lagi di Pasir Mas dengan kos 50 juta untuk 280 unit. Jadi untuk Kelantan sahaja, kita luluskan lapan projek besar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sehingga kini sebanyak 4,400 permohonan telah diterima JPP dan pemilihan pengundi akan ditentukan melalui satu jawatankuasa khas melibatkan wakil kerajaan pusat dan negeri.
“Dengan jumlah permohonan ini, kita dapat lihat perumahan ini merupakan satu isu besar di Kelantan. Kerajaan negeri tidak menyediakan perumahan yang bersesuaian kepada rakyat berpendapat rendah. Malah beberapa projek perumahan di bandar utama terutamanya di Kota Bharu melibatkan perumahan atau apartmen untuk golongan pertengahan dan elit sahaja, dengan harga pasaran lebih RM300,000.
“Dengan adanya projek PPR ini diharapkan agar dapat penuhi sebahagian daripada permintaan tersebut. Dan ini adalah satu masalah yang serius, saya merayu kerajaan untuk tambah lagi rumah ini kerana ia dilihat sebagai keperluan terdesak,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan