PASIR MAS: Kementerian Pertahanan akan menimbang cadangan supaya sebuah kem Rejimen Sempadan diwujudkan di Rantau Panjang di sini.
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya akan meminta Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim mengkaji cadangan tersebut memandangkan kawasan Rantau Panjang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.
"Kem tersebut mungkin akan menempatkan 1,700 anggota rejimen berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di sini, hari ini.
Cadangan itu disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang Senator Datuk Abdullah Mat Yasim bagi memantapkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan tersebut.
Dalam ucapannya, Hishammuddin turut mengecam serangan pengganas yang menggunakan sebuah van di Barcelona, Sepanyol.
Katanya sekalipun mempunyai aset tercanggih dan agensi perisikan yang mantap, negara-negara terbabit masih belum dapat membendung serangan pengganas.
"Dunia sekarang ini sedang terkapai-kapai hendak mencari jalan terbaik untuk membendung serangan pengganas," katanya.
Menurut agensi berita antarabangsa, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 100 cedera selepas sebuah van merempuh orang ramai di tengah-tengah bandar raya Barcelona pada Khamis.
Sumber: Bernama | 18 Ogos 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan