Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 31 Julai 2017

Rumah PPR Kelantan harga hanya RM35,000


Mustapa Mohamed (tiga dari kiri) meninjau Projek Perumahan Rakyat di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan, semalam. Rumah tersebut dijual dengan harga RM35,000 seunit berbanding kos asalnya sebanyak RM188,000.
KOTA BHARU: Pembeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini hanya perlu membayar RM35,000 untuk setiap unit kediaman tersebut selepas Kerajaan Pusat memperuntukkan subsidi lebih RM150,000.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kos pembinaan untuk setiap unit rumah tersebut ialah sebanyak RM188,600 bagaima­napun harga pasaran untuk kediaman yang sama dianggarkan antara RM200,000 sehingga RM300,000.

Katanya, kekurangan perumahan kos rendah di negeri ini me­rupakan isu besar apabila Kerajaan Pas Kelantan lebih fokus membina kondominium mewah yang harganya di luar kemampuan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Usaha kerajaan Pusat membina projek perumahan rendah ini dapat memenuhi sebahagian daripada permintaan. Kota Bharu khususnya kita dapati permintaan cukup tinggi.

“Kita juga akan meminta kerajaan menambah pembinaan projek PPR di Kelantan. PPR yang dijual dengan harga rendah itu mampu membantu kebanyakan rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau status pelaksanaan PPR Kota Bharu di sini hari ini.

Tambah Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, setakat ini, Kerajaan Pusat telah membelanjakan sebanyak RM554.5 juta bagi me­laksanakan enam projek perumahan kos rendah di daerah Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

Malah ujarnya, kerajaan turut meluluskan dua lagi projek pembinaan rumah kos rendah iaitu di Ketereh dan Pasir Mas dengan melibatkan peruntukkan seba­nyak RM87 juta.

“Pada masa ini, enam projek tersebut telah berjalan dengan PPR di Gua Musang telah siap, Kota Bharu dijangka siap September ini, manakala di Ayer Lanas, Batang Merbau dan Machang dalam proses pembinaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, pembinaan PPR Kota Bharu yang bernilai RM188.6 juta akan memberikan manfaat kepada 1,000 keluarga di bandar ini.

Katanya, bagaimanapun, pe­nghuni dijangka boleh menduduki rumah tersebut pada April tahun depan kerana terdapat beberapa perkara seperti pendawaian elektrik yang masih dalam proses pemasangan.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melakukan kerja-kerja menyediakan bekalan elektrik pada akhir tahun ini. Secara keseluruhan kerja-kerja perlaksanaan PPR tersebut berjalan lancar.

Golongan yang layak membeli 1,000 unit rumah tersebut ialah mereka yang berpendapatan bawah RM3,000, berkeluarga dan tidak mempunyai rumah sendiri,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 30 Julai 2017 | Terbitan 31 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan