JERANTUT: Antara 250 hingga 300 hektar kawasan di Kelantan dan Pahang akan ditanam padi wangi (MRQ76) dengan sasaran hasil antara 750 hingga 900 metrik tan beras wangi sebelum akhir tahun ini.
Ketua Jabatan Transformasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Dr Hamid Sulaiman berkata sebagai perintis Gual Ipoh di jajahan Tanah Merah, Kelantan akan ditanam dengan padi wangi melibatkan kawasan seluas 114 hektar.
Manakala Kampung Gintong di sini akan menjadi kawasan pertama yang ditanam padi wangi di Pahang dengan keluasan tanaman 20 hektar dan proses penanaman akan bermula akhir bulan Julai.
"Selepas ini, kawasan berpotensi lain di negeri ini akan turut disaran supaya menanam padi jenis ini dan Nafas akan menguruskan kesemuanya bagi mengelakkan peserta menjual hasil kepada orang tengah," katanya.
Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi perbincangan penanaman padi wangi bersama 20 peserta tanaman padi kelompok Kampung Gintong di sini pada Sabtu.
Hamid berkata padi wangi dipilih kerana ia mampu menyaingi beras wangi import dan harganya lebih murah selain mempunyai 80 peratus ciri yang sama dengan beras wangi import.
Beliau berkata setiap hasil padi tersebut akan dibeli oleh Nafas dengan harga RM1,500 per tan berbanding RM 1,200 hingga RM 1,300 yang dibeli oleh orang tengah atau pengilang.
"Ini akan membantu peserta dan peladang menambah pendapatan mereka dan mengurangkan mereka berurusan dengan orang tengah serta penghasilan beras wangi tempatan juga akan bertambah bagi mengurangkan import beras wangi dari luar," katanya.
Sumber: BERNAMA | 7 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan