KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan mengadakan Festival KALA 2015 bagi mengembali dan mempopularkan batik asli negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata festival tersebut bermula dari 14 hingga 16 Mac ini di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini.
"Batik asli Kelantan adalah satu hasil seni tangan asli yang diwarisi masyarakat Kelantan sejak seratus tahun lalu dan ia perlu dikekalkan walaupun berdepan persaingan dengan batik moden.
"Festival ini akan menjadi refleksi budaya dan kesenian rakyat Kelantan agar tidak ketinggalan dalam arus pembagunan dan kemodenan selain membuka pasaran yang lebih luas kepada usahawan batik berskala kecil di Kelantan," katanya dalam sidang akhbar mengenai penganjuran Festival KALA 2015 di sini, hari ini.
Katanya, aktiviti jualan akan bermula pada 10 pagi hingga 10 malam dengan lebih 60 ruang niaga.
"Kita jangkakan sehingga 100,000 pengunjung tempatan dan pelancong asing akan menghadiri festival tersebut memandangkan waktu itu sesi cuti persekolahan," katanya.
Wan Zawawi berkata selain batik asli, festival akan dimeriahkan dengan promosi produk pelengkap lain seperti hijab, jubah, tudung dan barangan eksesori wanita.
Katanya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan batik dan songket selain persembahan kebudayaan seperti dikir barat oleh kumpulan pendikir tempatan.
"Kita harap festival ini akan membantu pengusaha industri untuk lebih maju terutama yang berskala kecil atau sederhana yang memerlukan sokongan untuk bergerak ke hadapan," katanya.
Sumber: BERNAMA | 11 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan