KOTA BHARU: Biarpun pernah ditahan lebih dari sekali oleh anggota polis atas kesalahan terlibat dengan dadah, seorang ibu tujuh anak tidak pernah serik menagih heroin sejak 15 tahun lalu, atas alasan mengalami masalah rumah tangga.
Wanita berusia 40-an itu, berkata sebagai suri rumah, dia menghadapi tekanan keluarga apabila suaminya tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan tidak mampu menanggung keluarganya.
“Saya pada mulanya hanya menagih secara suka-suka, namun selepas mencuba sekali saya mula ketagih dan terus berusaha mendapatkan bekalan heroin dari pengedar.
“Sehinggalah suami saya ditahan dalam penjara baru-baru ini akibat terlibat dalam pergaduhan yang menyebabkan saya hilang dari separuh hidup saya dan terus bergelumang dalam kancah dadah tanpa sekatan,” katanya kepada pemberita.
Wanita terbabit berkata, dalam tangkapan kali ini, dia mula sedar kehidupannya bergelumang dalam dadah tiada penghujungnya dan mengharapkan sinar baharu dalam kehidupan memandangkan anak-anak pernah melarangnya terjebak dalam kancah terbabit namun tidak dapat mengelak akibat ketagih.
Ibu terbabit merupakan antara 89 penagih yang ditahan, termasuk remaja seawal usia 15 tahun dan warga emas berusia 60 tahun, dalam Ops Bersepadu Tapis yang dijalankan Bahagian Narkotik negeri bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, melibatkan 60 pegawai dan anggota bermula malam kelmarin dan berakhir pagi semalam.
Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Deputi Superitendan Roslan Yusoff@ Mohamad berkata, operasi berkenaan yang bermula jam 11 malam dan berakhir jam 10 pagi itu, dijalankan bagi mengekang jenayah narkotik di negeri ini.
“Kita lihat sejak akhir-akhir ini, kes dadah menjadi satu trend yang melibatkan ramai remaja dan kita berusaha menangani jenayah dadah sehingga ke akar umbi.
“Ini merupakan satu langkah yang disahut dari seruan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim bagi membanteras penglibatan golongan muda di negeri ini dari terus terbabit dalam kancah dadah,” katanya.
Roslan berkata, ops ini akan diteruskan dari masa ke masa melibatkan bukan sahaja tangkapan penagih, pengedar malah ‘port-port’ penagih yang dikenal pasti turut diserbu.“Serbuan kali ini melibatkan lokasi sekitar Kota Bharu selain daerah-daerah sekitar yang menjadi kawasan penagihan.
“Untuk tahun ini sahaja sepanjang Januari lalu, dua rampasan kes dadah melibatkan heroin seberat 45 gram dan 400 biji pil kuda berjaya dirampas dalam serbuan di Kota Bharu baru-baru ini, kes disiasat di bawah seksyen 39B dan ia kejayaan terbesar Polis Kelantan setakat ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 6 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan