Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 22 Mac 2015

Tabung ihsan kumpul RM10.7 juta baiki masjid, surau di Kelantan

GUA MUSANG: Sejumlah RM10.7 juta berjaya dikumpulkan Tabung Ihsan Masjid Negeri Kelantan sejak dilancarkan tiga bulan lepas, kata Pengerusinya, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM2.5 juta telah dibelanjakan untuk membaik pulih dan membeli pelbagai peralatan 36 buah masjid dan surau yang rosak akibat banjir besar yang melanda Kelantan pada Disember lepas.

"Baki RM8.2 juta lagi akan digunakan untuk membaik pulih 296 lagi masjid dan surau secara berperingkat.

"Kita bangga dengan kesepakatan rakyat beragama Islam negara ini yang bermurah hati menyumbangkan bantuan kepada tabung itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku di sini, Ahad.

Asyraf Wajdi, yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), berkata mengikut laporan yang diterima, 101 masjid dan 231 surau rosak dalam musibah banjir itu.

"Kita akan tengok mana-mana masjid atau surau yang rosak untuk diperbaiki dan menyenaraikan peralatan yang rosak, termasuk karpet dan alat pembesar suara untuk dibeli.

"Perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin kerana kita faham kerosakan yang berlaku di tempat ibadat itu akan menyulitkan penduduk menunaikan solat," katanya.

Sumber: BERNAMA | 22 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan