Calon-calon PRK Chempaka (dari kiri) Aslah Mamat, Ahmad Fathan (PAS), Fadzillah Husin, Izat Bukhary Ismail Bukhary dan Sharif Mahmood di Pusat Penamaan Calon, Pengkalan Chepa. Foto: BERNAMA |
PETALING JAYA: Umno telah memecat keahlian dua anggotanya kerana bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.
"Umno hari ini telah memecat keahlian Sharif Mahmood dan Fadzillah Hussin berkuatkuasa serta merta berikutan tindakan mereka yang bertentangan dengan keputusan parti iaitu bertanding sebagai calon bebas dalam PRK DUN Cempaka," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, Rabu.
Menurut kenyataan tersebut, Sharif telah berdaftar sebagai ahli Umno di RKT Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang, manakala Fadzillah di Kepala Batas, Tumpat.
Keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno berdasarkan Artikel 20.10 Perlembagaan Parti.
Surat pemecatan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Umno, yang ditandatangani Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Kerusi DUN Chempaka yang terletak di Parlimen Pengkalan Chepa, kosong berikutan kematian bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 12 Februari.
Pada 25 Februari, Presiden Umno dan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Barisan Nasional tidak akan bertanding di Chempaka untuk menumpukan perhatian kepada usaha-usaha pemulihan banjir dan untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.
Calon PAS Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad akan bertanding untuk kerusi itu bersama-sama dengan empat calon Bebas lain, termasuk Sharif dan Fadzillah.
Tarikh mengundi telah ditetapkan pada 22 Mac.
Sumber: mStar Online | 11 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan